Kembali Kepada Agama


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Sedar tidak sedar kita sudah masuk ke bulan Februari. Cukup pantas masa berlalu meninggalkan kita. Bagaimana dengan bulan Januari lepas bagi anda semua? Adakah tahun baru ini berjalan lancar dan kita telah mencapai pelbagai kejayaan?

Pelbagai perkara berlaku sejak akhir-akjir ini. Cukup merunsingkan kita. Kes bunuhnya, kes rogolnya, masalah sosialnya, dan lain-lain. Generasi sekarang semakin hari semakin jauh dengan agama.

Saya bukan ustaz, jauh sekali seorang alim. Cuma merasakan kasihan dan simpati dengan generasi sekarang yang semakin jauh dengan Islam. Semakin jauh dengan agama. Apakah punca semua ini. Saya sendiri takut untuk memikirkan apa yang bakal berlaku pada masa depan. Jika anda ingat kata-kata ini,

“jika mahu melihat bagaimana masa depan negara, lihatlah kepada anak muda pada hari ini”


Yer, memang hidup pada masa kini kebanyakannya mengejar dunia semata-mata. Mengejar wang ringgit yang entah berapa banyaknya. Sehingga terlalai dengan tugas sebenar kita sebagai seorang khalifah Allah s.w.t. Kita pandai dan hebat dengan Ilmu dunia, tetapi gagal dan gagal dalam ilmu akhirat.

Kita terlupa kita hanya hidup buat sementara waktu di atas dunia ini. Kita terlupa banyak perkara tentang kampung “abadi” kita di sana. Sebab itu kita tidak hiraukan tentang hari akhirat. Kita leka dengan hiburan yang melalaikan.

Kadang-kadang aneh. Kita cukup peka dengan air Coca-cola yang dikatakan mengandungi alkohol. Kita sibuk dengan tepung dan minyak masak yang dikatakan tidak halal. Tetapi terlupa yang kita kadang-kadang solat 5 waktu punt idak cukup. Bagaimana kita boleh risaukan halal dan haram tentang makanan? Sedangkan perkara wajib pun kita masih tinggal? Saya mengingatkan diri sendiri. Bukan untuk mengata sesiapa.

Kesimpulannya. Kembalilah. Kembali semula kepada agama kita iaitu Islam. Tiada gunanya hebat dan disanjung tinggi oleh manusia, tetapi hina pada pandangan Allah s.w.t. Kita ada tugas penting sebagai manusia. Iaitu menyeru kepada kabaikan dan mencegah kepada kemungkaran.

InsyaAllah, semoga kita sentiasa diberi petunjuk dan hidayah dalam meneruskan hidup ini. Yer, benar, kita juga perlu keluar untuk mencari rezeki untuk keluarga, tetapi jangan terlalai kepada tugas hakiki kita yang sebenar. Carilah harta bertimbun, namun di hati tetap mencintai Islam dan mengamalkan Islam.


Jumpa lagi…:)

Ps: Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan perniagaan atau apa sahaja, sila email di cmm2040@gmail.com. :)

Kalau nak komen, tulis aje kat bawah tu…

Artikel ini khas untuk mengingatkan diri sendiri.

-Posted using BlogPress from my iPad

Kenapa “Kepercayaan” penting dalam Perniagaan?

Jika ditanya kepada mana-mana peniaga atau usahawan, mereka akan menitikberatkan soal “kepercayaan“. Maksudnya di sini bukanlah kepercayaan tentang rukun iman atau sebagainya, tetapi lebih kepada kepercayaan dalam hubungan perniagaan.


Dari mana datangnya kepercayaan itu?

Kepercayaan akan datang melalui perhubungan yang betul antara pelanggan dan juga peniaga. Sebagai seorang usahawan, kepercayaan adalah sangat penting sebelum kita melakukan apa-apa urusan perniagaan. Iyalah… Siapa pula yang mahu membeli dari seseorang yang tidak kita percayai. Betul tak?

Saya ada menempuh sedikit pengalaman berkaitan dengan kewajipan seseorang menjual “kepercayaan” yang ada dalam diri. Mungkin akan diceritakan pada artikel berikutnya.


Saya senaraikan beberapa sebab kenapa perlunya “kepercayaan” dalam kita menjalankan urusan perniagaan.

1. Keyakinan

Selalunya pelanggan akan membeli dari kita bila mereka sudah yakin dan percaya kepada kita. Walaupun sesuatu produk itu bagus, tetapi orang yang menjualnya tidak boleh dipercayai, maka tiada sebarang jualan yang akan terhasil.

Contoh mudahnya adalah, kita akan lebih mudah membeli sesuatu daripada rakan niaga yang kita kenal berbanding dengan orang luar(orang yang kita tidak kenal).

2. Mudahkan urusan

Sesuatu tugas yang kita akan amanahkan akan bergantung kepada sejauh mana kita mempercayai kebolehan seseorang. Bila sudah percaya, maka urusan kita akan menjadi mudah.

Disamping itu, adakah kita akan mudah mempercayai seseorang hanya dengan perjumpaan pertama kali?

3. Pembelian berulang

Pelanggan biasanya akan membuat pembelian berulang dari seorang peniaga yang mereka percaya. Ini kerana keyakinan kereka terhadap peniaga tersebut dan juga kepercayaan yang diberikan kepada mereka.

Kenapa kita yakin dengan sesuatu produk? Kerana kita mempercayai jurujualnya tidak akan menipu kita apabila mereka membuat jualan ke atas kita.

4. Hubungan jangkamasa panjang

Maksudnya disini adalah, kepercayaan kedua-dua belah pihak iaitu antara peniaga dan juga pelanggan akan berterusan selagi mana kepercayaan itu wujud. Selagi hubungan yang baik itu berterusan, ia akan mengekalkan hubungan tersebut sampai bila-bila.

Oleh itu, kepercayaan adalah sangat penting tidak kira dalam perniagaan dan juga hubungan kita seharian.

Orang Cina sangat menitikberatkan tentang kepercayaan dalam hubungan perniagaan. Mereka biasanya akan mempercayai kita selagi mana kita tidak khianati mereka. Tetapi jika kita sudah buat hal, sampai bila-bila pun mereka akan berasa curiga dengan kita.


Semangat ini juga ada baik dan buruknya. Tetapi ambillah yang baik dan gunakan dalam kehidupan kita dan di sini saya fokuskan kepada usahawan dan juga peniaga.

Peniaga yang jujur akan disayangi oleh pelanggan dan juga tuan punya dunia ini iaitu Allah s.w.t.

Sekian,
Mohammad Faizal
www.cahayamentarimarketing.com

-Posted using BlogPress from my iPad

Kenapa membeli secara online?


Kecanggihan teknologi pada hari ini membolehkan kita membeli barang hanya di hujung jari. Secara sedar ataupun tidak, kita telah pergi ke satu lagi era teknologi baru dengan pantas.

Segala urusan samada dengan kerajaan ataupun swasta menjadi mudah dengan adanya teknologi online.

Ini merupakan satu rahmat dan nikmat kepada kita semua sebagai manusia. Maka, bersyukurlah.


Apa yang ingin saya perkatakan mungkin sudah lapok pada hari ini. Tetapi bagi budak-budak yang mengambil subjek SPM tahun ini mungkin ada gunanya. :) Kenapa membeli secara online?

1. Mudah untuk memindah wang

Kalau dahulu kita kena beratur samada di pejabat pos atau di bank. Dengan kaedah online, anda hanya perlu duduk sahaja dihadapan laptop atau pc dan buat transaksi wang dengan segera. Lima minit sudah cukup. Masalahnya adalah pada generasi lama, tuan-tuan kena ajarlah kepada mereka kalau mereka masih tidak tahu. Bukankah mengajar itu baik dan dapat pahala pula tu…

Satu lagi, jangan pula salah pindah wang ke akaun orang lain, naya nanti.. :P

2. Banyak pilihan untuk membeli barangan

Sudah tentu. Ini adalah kerana terdapat berjuta-juta website yang memaparkan barangan yang hendak kita beli. Anda hanya perlu google sahaja. Salah satu tujuannya adalah supaya kita dapat membuat sedikit penyelidikan sebelum membeli sesuatu barang yang kita hajati.

Tetapi awas, jangan percaya bulat-bulat apa yang dihidangkan. Mungkin berlaku juga penipuan yang akan berlaku bila kita membuat pembelian.

3. Barang lebih murah

Saya sudah banyak kali terkena. Dan kalau ingin kita membuat perbandingan, membeli secara online adalah lebih baik berbanding jika kita beli di kedai. Cumanya, kalau anda bernasib baik, dan rajin mencari, kos penghantaran barangan adalah percuma. Jika tidak, bila kos penghantaran barangan di ambil kira, kemungkinan barang yang anda beli adalah tidak berbaloi.

Jadi sebagai pengguna bijak, carilah dan buat kajian yang terbaik. Keputusan ditangan anda.

Perlu juga diingat, tidak semua barang sesuai untuk di beli secara online. Contoh barang yang biasa dibeli adalah, aksesori telefon, tablet, ebook dan sebagainya.

4. Mudah kena tipu

Disebabkan terlalu mudahnya melakukan urusan secara online, maka mudah jugalah kita ditipu. Ada banyak laman web yang menawarkan skim pelaburan yang bukan-bukan terutamanya yang mendatangkan hasil yang lumayan.

Mereka yang licik ini akan mencari mangsa yang sangat ghairah untuk membuat duit secara online dan ingin kaya cepat. Jadilah pengguna bijak wahai rakan-rakanku. Tidak ada pelaburan yang tidak mendatangkan risiko. Kalau tiada langsung risiko, lagi tidak logik. Jadi, apa-apahalpun kita kena siasat dahulu. Jangan nanti sudah bangkrap, baru nak sedar.


Kesimpulan

Manfaatkan teknologi yang dicipta ini dengan sepenuhnya untuk kebaikan kita. Ini kerana, apa yang dicipta pada hari ini adalah untuk memudahkan urusan kita serta untuk meningkatkan produktiviti kita sebenarnya.

Jangan pula kita mudah ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Kita sebagai pengguna ada hak untuk membuat pilihan yang paling baik.

Satu lagi pesanan saya buat peniaga-peniaga yang suka membuat sistem pelaburan haram, sila hentikan perbuatan tersebut. Cukup-cukiolah anda menipu dan membohongi umat melayu Islam khususnya. Ada banyak lagi cara lain untuk mencari rezeki yang halal. Bukan dengan cara menindas dan menipu orang ramai.


Sekian,

Faizal bin Ehsan
www.faizalehsan.com

-Posted using BlogPress from my iPad

Anda sahabat saya?Setulus doa untuk Anda

Sedang mencari-cari idea, maka saya teringatkan blog pertama yang pernah saya buat dahulu. Blog percuma sahaja dengan kuasa wordpress. Pada masa itu baru berjinak-jinak dengan dunia maya dan juga pada masa itu, dunia blogging baru sahaja bermula.

Ketika itu juga, saya masih lagi menuntut di kampus UMP. Sengaja melakukan sesuatu yang baru sebagai hobi. Manalah tahu, kalau-kalau boleh menambah sedikit pendapatan sambil belajar di Universiti. Okey, itu hanyalah sedikit cerita alam kampus. Orang kata, zaman belajar adalah zaman yang paling seronok sekali. Tidak banyak komitmen yang harus dipikul. Habis kuat pun, kena siapkan assignment dan mengadap muka pensyarah universiti sahaja.

Kehidupan di luar kampus adalah berlainan. Jauh dari rasa selesa ketika berada di alam universiti. Eh… nampaknya dah mengelamun jauh ni… haha. ;) Tidak mengapa, kita sambung cerita alam kampus ni pada masa akan datanglah ye. Sebab ini bukan fokus utama kita hari ini.

Di bawah saya tuliskan kembali, apa yang pernah saya tulis pada blog saya yang pertama dahulu. Terasa syahdu pula bila membaca tulisan ini. Bukan saya buat, tetapi saya ambil dari tulisan rakan-rakan juga sebenarnya. Jadi, jom baca.

 

Ya Allah,
Sahabat saya tak seperti sahabat Nabi saw,
Sahabat Nabi setia di sisi,
Sahabat saya datang dan pergi.

Ya Allah,
Saya muhasabah, menerawang sendiri,
Dari kecil ke saat ini,
Ramai sudah bertandang di hati,
Ramai juga yang datang dan pergi.

Ya Allah,
Sahabat ketawa, saya gembira,
Sahabat sayu, saya syahdu,
Sahabat layu, saya pilu,
Sahabat cemerlang, saya gemilang.

Ya Allah,
Kawan saya, sahabat saya,
Rahmati kami meniti usia,
Terpisah kami di alam nyata,
Temukan semula di taman syurga.

Ya Allah,
Sahabat saya, buah hati saya,
Mesra kami penawar duka,
Rindu kami menambah cinta,
Rajuk kami membuah ceria.

Ya Allah,
Silaturrahiim kami, ukhwah fillah,
Bermusuh kami, na`uzubillah,
Berpisah mati, insyaAllah,
Pengubat hati, do`a rabitah..

 

Kalau rasa-rasa nak kongsi sesuatu, jangan malu-malu komen di bawah ya ;)

Jumpa lagi…

p.s.: Sesekali lari sikit dari topik usahawan dan perniagaan. ;)

 

Join saya di facebook:        

Follow saya di twitter :       

Apa yang menarik tentang 11.11.11?

Saya rasa hari ini pasti akan menjadi hari yang istimewa untuk sesetengah orang kita. Kerana apa? kerana tarikh hari ini yang dikatakan amat istimewa iaitu 11.11.2011 @ 11.11.11. Terpulang kepada pilihan dan pandangan masing-masing. Apa yang penting adalah, jangan terlalu terpengaruh dengan keistimewaan sesuatu benda itu sehingga menidakkan kekuasaan Allah s.w.t.

Dan, hari ini juga saya gatal tangan untuk menulis sesuatu pada tarikh ini…hehe. Bila sudah memulakan sesuatu, ada momentum akan dihasilkan. Oleh yang demikian, ambil kesempatan ini untuk meningkatkan momentum yang ada bagi mengelakkannya luput dari dalam diri kita. Ia ibarat motivasi juga.

Blog faizalehsan.com

Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua samada yang meninggalkan komen, atau lebih berminat untuk menjadi “silent reader” sahaja. Tidak ada masalah. Jika anda rasa blog ini memberi manfaat kepada anda, sebar-sebarkan kepada rakan-rakan kita yang lain. Semoga kebaikan yang kita dapat, kita boleh kongsi bersama.

credit to: http://www.flickr.com/photos/owenwbrown/

Semalam saya ada menulis tentang 19 profil usahawan yang terbilang. Kalau anda sudah baca sampai habis, alhamdulillah. Terus sahaja aplikasikan. Jangan bertangguh lagi (ingatan buat diri juga ni). Sememangnya banyak perkara-perkara penting yang perlu kita semaikan dalam diri untuk menjadi orang yang berjaya. Tidak ada jalan mudah. Apa yang mudahnya adalah, setiap perkara tersebut kita boleh pelajarinya.

Sudah hampir 2 tahun saya memulakan blog faizalehsan.com ini. Ada masa “on”. Ada masa “off”. Orang kata macam biskut pula.. ;) Namun, apa yang penting, saya tetap akan kuatkan diri untuk menulis sesuatu untuk anda semua. Menulis blog atau menjadi blogger bukanlah perkerjaan tetap saya seperti problogger yang lain. Dan, saya juga bukan penulis blog tegar. Jadi, itu sebabnya berlaku kelompangan dalam artikel setiap bulan. oh!..

Saya pasti ramai juga antara rakan-rakan yang mula berjinak-jinak dengan blog. Ada yang konsisten, ada yang dah padam terus. Itu menunjukkan, bukan mudah untuk terus kekal dalam penulisan.

Melainkan seseorang itu mempunyai tekad dan minat yang tinggi dalam bidang ini.

Di barat, penulisan seolah-olah menjadi suatu kewajipan dan juga merupakan sesuatu yang biasa diamalkan. Orang putih ni kalau buat buku itu menjadi sesuatu yang biasa. Bukan luar biasa seperti yang ada kita lihat di negara kita. Seolah-olah setiap orang boleh menghasilkan buku. Tidak kira dalam apa juga kategorinya, pasti kita akan dapat lihat buku-buku baru terhasil dari tangan mereka. Jadi, tidak hairan jika negara barat jauh meninggalkan kita dari segi penulisan mahupun pembacaan.

Bagaimana hendak menghasilkan penulisan jika tidak membaca?

Penulisan biasanya bermula dengan pembacaan. Setelah membaca, akan terbit idea-idea yang mungkin sama atau yang bertentangan dengan apa yang kita baca dalam buku. Selepas itu, baru kita boleh menghasilkan penulisan. Dan, tidak lupa juga, praktikal atau “berlatih” apa yang kita buat. Sesuatu itu tidak terhasil hanya dengan sekali buat sahaja. Mesti berusaha dan berusaha dan berusaha serta memberi masa kepada diri kita untuk melihat hasilnya. Ini adalah formulanya. Tidak ada jalan pintas.

Kesimpulannya

Jika kita mahu lakukan sesuatu perkara, lakukan dengan cara yang paling baik. Walaupun mungkin susah pada mulanya, insyaAllah akan berjaya jika usaha kita dilakukan secara berterusan. Secara peribadi, menjadi seorang blogger tidak mudah. Menulis sesuatu memerlukan kajian sebenarnya. Bukan dengan hentam keromo sahaja.

Selain itu, setiap apa yang kita tulis, kita harus bertanggungjawab sepenuhnya. Baik atau buruk, kita kena tanggung sendiri. Kita boleh menulis tentang apa sahaja samada tentang kehidupan kita, perniagaan, tip blogging, tip buat duit dan sebagainya. Namun di situ juga terletak tanggungjawab yang harus kita pikul. Jika sesuatu itu baik, alhamdulillah. Jika buruk? “lu Fikirlah Sendiri” –fe

 

p.s : oh…panjang sungguh entri kali ni. Idea datang mencurah-curah pula di pagi hari. Segala puji hanya bagi Allah.

p.s.s: Kalau rasa macam merapu, saya minta maaf. ;) ambil poin-poin yang penting sahaja ya.

p.s.s.s: Mahu membeli baju muslimah? Teddy bear? Hadiah untuk orang tersayang? Klik SINI atau SINI

Like Facebook blog ini di 

Follow saya di twitter

19 Profil Usahawan Terbilang Part – 2

Dunia perniagaan hari ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Jika kita masih lagi tidak mahu berganjak dengan ego kita dan menganggap diri kita betul, maka usia kita di dalam perniagaan akan menjadi singkat. Sekadar menasihatkan diri sendiri.

Beberapa perkara penting telah saya beri di dalam artikel yang lepas. Semoga kita sama-sama dapat praktikkan. Bagi mereka yang terlepas, boleh lihat dan baca di SINI.

Okey, tidak mahu membebel panjang, nanti bosan pula anda semua nak baca artikel kali ini… ;)

Saya sambung untuk nombor yang seterusnya. Lihat sambungan di bawah:

 

10. Cinta kepada alam perniagaan

11. Mampu menjadi ketua yang berkualiti

12. Mempunyai daya saing yang tinggi

13. Peka kepada perbezaan perkara rahmat dan istidraj

14. Pandai mengurus diri dan perniagaan

15. Bersedia membantu orang lain

16. Tidak mementingkan diri sendiri

17. Patuh perintah Allah s.w.t. (Ini adalah Mandatori!)

18. Sentiasa ceria dan bermotivasi tinggi

19. Faham dan mengamalkan kaedah membuka pintu-pintu rezeki.

 

credit to: All rights reserved by amit1077

Okey, sudah lengkap kesemuanya seperti yang dijanjikan. Menulis dan membaca memang mudah. Tetapi untuk mengamalkannya itu yang lebih utama. Bukanlah bermakna yang menulis juga telah melakukan kesemuanya, tetapi sekadar memberikan semangat dan mengajak kita semua mengamalkan perkara yang baik untuk kita bersama.

Jika ada kesempatan, mungkin saya akan mengambil mana-mana isi yang sesuai untuk diurai dengan lebih teliti. Saya faham, bukan semua orang tahu dan faham hanya dengan fakta semata-mata. Dalam perniagaan yang bakal kita ceburi, kedua-dua elemen iaitu mengkaji fakta dan praktikal berjalan seiring.

Berjumpa lagi pada artikel seterusya. Kalau rasa-rasa tidak mahu ketinggalan, masukkan email anda pada ruangan sebelah kanan anda dan tekan butang subscribe. Semoga perkongsian ini membawa manfaat untuk kita bersama.

Kejar Akhirat, Dunia akan mengikutmu

Klik like pada Facebook blog ini.

Follow saya di twitter.

Terima kasih.

19 Profil Usahawan Terbilang

Menjadi usahawan terbilang adalah impian semua orang yang bergelar usahawan. Walaupun mereka yang makan gaji sekalipun, tetap mahukan sesuatu yang ‘lebih’ dari kebiasaan dalam bentuk ganjaran kewangan. Ini adalah sifat semulajadi manusia. Tidak pernah puas dengan apa yang kita ada. Sebab itu, dunia semakin hari semakin maju disebabkan rasa ketidakpuasan hati kita bila sudah mencapai sesuatu matlamat.

Namun dalam usaha kita menjadi seorang usahawan, tidak semuanya indah belaka. Bila sudah melangkah kaki ke dalam dunia perniagaan, pasti kita akan mengharungi pahit dan manis.

Perniagaan membolehkan anda tersenyum sampai ke telinga, dan boleh juga membuatkan anda mengalirkan air mata. Itulah cabarannya.

Di bawah, ada beberapa perkara penting yang perlu ada untuk menjadi seorang usahawan terbilang. Sekadar mengingatkan diri sendiri dan juga memberi panduan kepada bakal-bakal usahawan di luar sana. Saya bukanlah yang layak untuk memberikan panduan, kerana saya sendiripun masih lagi belajar bertatih dan belum mampu berlari. Apa yang saya ada, saya kongsikan dengan anda semua. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat.

Terdapat banyak buku di luar sana yang berkaitan dengan keusahawanan. Tetapi dari pemerhatian saya, lebih banyak buku-buku penting ini di tulis dalam bahasa Inggeris. Jadi, saya mengambil inisiatif, untuk memberikan sedikit dari apa yang saya ada membuat penulisan dalam bahasa melayu. Semuanya adalah untuk anak bangsa saya sendiri. Kalau bukan kita yang mulakan, siapa lagi?

Ikuti dan sama-sama kita amalkan sikap-sikap yang baik ini dalam diri kita sebagai seorang usahawan Islam:

  1. Sentiasa Jujur
  2. Telus dalam setiap tindakan
  3. Berdisiplin tinggi
  4. Sistematik dalam melakukan kerja
  5. Mesra pelanggan
  6. Suka berjumpa dengan semua orang
  7. Mendapat sokongan yang padu dari pasangan dan keluarga
  8. Sanggup dan sentiasa berusaha lebih
  9. Memiliki bakat semulajadi

Dan senarai ini akan di tambah pada artikel akan datang. Jumpa lagi… ;)

Join saya di Facebook

Follow saya di twitter

Adakah anda sedang mencari produk -produk bumiputera? klik SINI

Ada apa pada Steve Jobs dan Apple?

2, 3 hari ini kita dikejutkan dengan perletakan jawatan ketua pegawai eksekutif Alpple, Steve Jobs. Seperti yang di petik dari akhbar:

SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Steve Jobs, meletakkan jawatan itu semalam atas alasan beliau tidak lagi mampu meneruskan tugas tetapi akan terus terbabit dalam mengemudi syarikat, salah sebuah firma teknologi paling berpengaruh dunia.

Walaupun berita ini menggemparkan, tetapi bagi saya, ianya adalah lumrah kehidupan. Kita tidak akan selama-lamanya akan menongkat langit. Apalagi tiada yang kekal di dalam dunia ini. Continue reading

4 Langkah memulihkan keyakinan diri

Nature Macro

Alhamdulillah hari Jumaat tiba lagi hari ini. Mungkin agak terlambat untuk mengupdate blog hari ini. Tetapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya langkah pertama perlu diambil sebelum beroleh kejayaan. Anda pernah dengar peribahasa ini?

Perjalanan yang beribu batu bermula dari langkah yang pertama.

Entah mengapa, dalam semingu dua ini saya terasa sangat tidak bermotivasi. Tertekan dengan pelbagai perkara samada berkaitan dengan perniagaan dan juga peribadi. Rasanya seperti dunia hendak terbalik dibuatnya. Oh!

Akhirnya alhamdulillah, setelah membuat beberapa rujukan dan juga muhasabah diri, saya kembali mendapat rentak untuk menjalani kehidupan ini dengan penuh semangat. Semangat baru. Seperti juga blog ini, segalanya bermula di sini. Bukan mudah untuk menghadapi situasi sukar dalam hidup. Antaranya yang mungkin anda semua hadapi adalah:

  • Putus cinta
  • Masalah kewangan
  • Masalah rumah tangga
  • Masalah tidak bahagia
  • …. banyak lagi kalau hendak disenaraikan. Continue reading

Berfikir positif tentang DUIT

Anda ada duit? sudah tentu ada bukan? Kalau tidak banyak, setakat sepuluh sen pasti ada dalam kocek. Melainkan anda memang seorang kaya yang hanya menggunakan duit berbentuk kad (kad kredit la tu) untuk berbelanja memang tak ada duit dalam kocek.

Bila menyebut duit, kaya, jutawan, apa yang ada dalam kepala anda agaknya? Yang saya boleh teka adalah, duit sekarang susah nak cari, susah nak jadi jutawan, paling teruk pun, orang tengah sesak ni, kau boleh cerita pasal duit pula ye!

Walaupun mungkin ramai yang dah tahu, nak berjaya dapat duit juta-juta, bilion-bilion, kita kena berfikir positif. Maksudnya fikir yang baik-baik tentang duitlah. Sebab apa, dengan berfikir positif kita akan menarik duit kepada kita. Alah, kalau susah sangat nak faham, kalau kita nak dengan seseorang tu, kita kenalah suka dengan dia dahulu. Eh, betul ke?

Okey, tak perlu cakap banyak-banyak. Nanti pening pula kepala dan terus sahaja anda fikir negatif tentang duit. Macam mana nak ajar otak kita fikir positif pasal duit ni? Lihat di bawah:

Fikirkan tentang:

  • Duit akan memberi kesenangan kepada anda
  • Duit akan memberikan kesenangan kepada keluarga
  • Duit akan memberikan kesenangan kepada masyarakat
  • Duit akan memberikan kesenangan kepada bangsa dan agama.

Walaupun bercakap lebih senang daripada buat, tetapi kita kena paksa diri untuk berfikir yang baik-baik. Barulah rezeki kita akan bertambah, insyaAllah.

Dalam keadaan gula naik, barang-barang yang lain turut naik, mari kita sama-sama fikirkan cara untuk menambah pendapatan kita. Boleh kerja part-time, berniaga kecil-kecilan, tulis blog,berniaga di internet dan sebagainya.

Semoga ada manfaatnya.

Sekian, sebagai permulaan bulan Jun yang bermula pada hari ini.

p/s: anda ada apa-apa nak komen ke? tulis sahaja di bawah. ;)

Perniagaan yang pantas akan sentiasa ke hadapan. Caranya?…

Sudah hampir 2 bulan saya tidak update perkembangan terbaru di dalam blog ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya di manakah saya menghilangkan diri. Lari ke England kah? ;) . Namun, jika anda semua perasan dan lihat pada laman twitter serta facebook di sebelah blog ini, saya sentiasa update perkembangan terbaru di sana.

Apa khabar perniagaan anda hari ini? semoga semuanya berjalan lancar. Adat perniagaan, ada waktu puncak dan ada waktu turunnya. Bagi mereka yang bergelar usahawan dan peniaga, ini adalah perkara biasa. Pernah saya bertanya kepada beberapa rakan niaga, kenapa agaknya perniagaan sedikit menjunam pada awal-awal tahun? Anda hendak tahu jawapannya?

Ini kerana pada awal tahun kebanyakan dari pelanggan sibuk menguruskan pelbagai perkara. Dari baju sekolah anak-anak sehinggalah kepada perbelanjaan dapur. Oleh itu, kalau kita rasa perniagaan kurang ok dalam waktu-waktu begitu, janganlah sedih sangat ok? Jangan pula terjun bangunan. Sabar.

Perniagaan pada hari ini menuntut kita mempelajari semua perkara dengan pantas. Buat pengetahuan semua, pada awal bulan April yang lalu saya telah meghadiri Seminar Revolusi Perniagaan ineternet yang dikendalikan oleh sifu Dr Irfan Khairi. Seminar tersebut berlangsung selama 2 hari. Mungkin ada yang dah tahu tetapi tidak berkesempatan untuk hadir. Alhamdulillah, saya dapat hadir dan menimba ilmu selama 2 hari di sana. Banyak tip-tip dan panduan yang telah dikongsikan oleh sifu Irfan Khairi. Jika ada kesempatan, saya akan kongsikan bersama anda. Ilmu yang ada, apa salahnya kongsi ramai-ramai bukan?

Berbalik kepada maksud pantas itu tadi, jika kita lambat, kita akan ditinggalkan jauh oleh pesaing-pesaing kita. Contoh yang paling  mudah, siapa yang tiada akaun facebook di sini? saya pasti ramai yang ada. Samada untuk perniagaan atau personal. Bagaimana dengan twitter, youtube dan sebagainya? Laman web sosial ini sangat berkuasa untuk mendekatkan diri kita dengan pelanggan. Jika benar dan betul cara gunanya.

Akaun FB yang saya nyatakan tadi, berguna untuk mereka yang tahu tentang komputer. Bagi mereka yang tidak tahu, kenalah ambil tahu. Perniagaan konvensional juga memerlukan alat-alat ini untuk terus berkembang. Jadi, tuan-tuan semua, alat-alat ini wajib anda ada untuk meneruskan perjuangan dalam perniagaan anda.

Berdasarkan pengalaman saya yang baru setahun jagung ini, ramai rakan-rakan niaga yang masih lagi mengambil mudah tentang “kuasa” laman sosial ini. Pelbagai alasan yang diberikan samada tidak tahu, atau merasakan tidak perlu pun untuk memiliki sebuah website untuk syarikat dan sebagainya. Saya sudah nampak kesannya. Perniagaan mereka kurang berjaya  menembusi pasaran walaupun memiliki produk yang bagus.

Sebagai kesimpulannya, perniagaan pada hari ini memerlukan kita mengikut “trend” semasa. Yer, betul, setiap orang memiliki pendapat masing-masing dalam dunia perniagaan. Saya tidak mengatakan pendapat ini 100% betul. Anda mungkin ada pendapat sendiri. Jika ada, sila ke ruangan komen. Kita sama-sama tambah ilmu. :) .

Berjumpa lagi pada artikel yang akan datang. Saya akan cuba update sekerap yang mungkin supaya anda tidak lari dari blog ini ;) .  Sekian…

p/s : Sertai saya di facebook dan twitter :)

 

10 billionair Malaysia 2011

Mengikut fakta dari majalah Malaysian Business, berikut merupakan individu-individu terkaya di Malaysia:

1. Robert Kuok Hock Nien
Flagship: Kerry Group/ Kuok Group
Jumlah kekayaan semasa: RM50,040.00 juta

2. T. Ananda Krishnan
Flagship: Usaha Tegas
Jumlah Kekayaan semasa: RM45,780.00 juta

3. Tan Sri Teh Hong Piow
Flagship: Public Bank
Jumlah kekayaan semasa: RM12,755.53 juta

4. Tan Sri Lee Shin Cheng
Flagship: IOI Group
Jumlah kekayaan semasa: RM12,739.50 juta

5. Tan Sri Lim Kok Thay
Flagship: Genting Group
Jumlah kekayaan semasa: RM10,895.99 juta

6. Tan Sri Quek Leng Chan
Flagship: Hong Leong Group
Jumlah kekayaan semasa: RM10,751.62 juta

7. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
Flagship: Albukhary Foundation
Jumlah kekayaan semasa: RM8,840.00 juta

8. Puan Seri Lee Kim Hua
Flagship: Genting Group
Jumlah kekayaan semasa: RM7,429.34 juta

9. Tan Sri Tiong Hiew King
Flagship: Rimbunan Hijau
Jumlah kekayaan semasa: RM4,772.33 juta

10. Ong Beng Seng
Flagship: Hotel Properties Ltd
Jumlah kekayaan semasa: RM3,987.65 juta

Sebagai pembakar semangat dan perjuangan untuk menjadikan diri kita usahawan tycoon seperti mereka ini, maka kita kenalah berusaha keras dan jadikan senarai ini sebagai batu lonjatan untuk berjaya kelak.

Mungkin bukan sekarang, mana tahu suatu hari nanti nama anda akan tersenarai dalam 10 individu terkaya di Malaysia :)

Jumpa lagi pada artikel akan datang. Salam kejayaan dari faizalehsan.com

P.s: anda ada sesuatu nak cakap? Jom tulis di ruangan komen ;)

Join saya di facebook, klik SINI

Location:Bandar Baru Serting,Malaysia

Langkah Awal Memulakan Perniagaan

Asslalamualaikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar anda semua? Pastikan jawapan anda adalah luar biasa bagus dan hebat sekali. Sebenarnya ini adalah quot dari Dr Hm Tuah Iskandar. Saya pinjam sekejap ye Dr? ;) Tidak salah untuk berkongsi aura positif ini bersama-sama bukan? Asalkan ia mendatangkan kebaikan.

Saya menulis artikel ini ketika dalam perjalanan ke Seremban. Pada waktu lapang yang ada ini, apa salahnya menulis sesuatu yang berguna untuk anda.

Sebagai seorang usahawan, kita
mempunyai tanggungjawab yang berat sebenarnya. Perkara pertama yang menjadi keutamaan adalah NIAT.

Kenapa perkara utama adalah niat? Kerana tanpa niat yang betul, segala pekerjaan yang kita lakukan tidak akan diberkati. Yup, betul anda boleh kaya di dunia, tetapi di akhirat belum tentu lagi.

Dalam agama Islam sendiri cukup menitikberatkan tentang niat. Lihat pada solat, apa perkara pertama sekali anda perlu buat? Niat dahulu. Puasa? Kena niat dahulu. Tanpa niat, solat dan puasa anda tidak sah.

Jadi, cuba renungkan jauh dalam diri, apakah sebenarnya niat aku? Percayalah jika niat anda betul, Allah s.w.t akan bantu dan
memudahkan urusan perniagaan anda.

Kebanyakan dari kita ingin kaya. Bukan setakat ingin kaya sahaja, tetapi ingin kaya cepat. Siapa tidak ingin kaya, kalau tanya apek yang tampal tayar basikal pun sudah tentu dia akan jawab “musti mau kaya lo..”.

Setelah meneliti dan memerhatikan sikap orang yang berjaya, tidak pernah ada yang mudah untuk menjadi kaya. Tidak ada jalan singkat. Mengikut penulis barat Robert Kyosaki, perniagaan adalah suatu proses. Anda kena melalui proses itu iaitu jatuh dan bangun sehinggalah berjaya.

Jadi, saya nasihatkan diri sendiri dan rakan-rakan semua supaya bersabarlah dan teruskan usaha walaupun sakit sikit pada mulanya. InsyaAllah, Allah akan bantu kita jika kita bersungguh-sungguh dan sentiasa ingat kepadanya.

Ok, sudah sampai masanya saya mengakhiri artikel pada kali ini. Kali ini sahaja, saya akan sambung pada tulisan yang akan datang. Pastikan anda sentiasa melawat blog ini untuk medapat maklumat terkini.

Jika anda tidak mahu terlepas, apakata anda masukkan alamat email anda pada kotak dibahagian tepi blog ini. :)

Salam kejayaan dari saya. Jom bangunkan lebih ramai usahawan di Malaysia. Jumpa lagi.

- Posted using BlogPress from my iPhone

Location:Bandar Baru Serting,Malaysia