Kembali Kepada Agama


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Sedar tidak sedar kita sudah masuk ke bulan Februari. Cukup pantas masa berlalu meninggalkan kita. Bagaimana dengan bulan Januari lepas bagi anda semua? Adakah tahun baru ini berjalan lancar dan kita telah mencapai pelbagai kejayaan?

Pelbagai perkara berlaku sejak akhir-akjir ini. Cukup merunsingkan kita. Kes bunuhnya, kes rogolnya, masalah sosialnya, dan lain-lain. Generasi sekarang semakin hari semakin jauh dengan agama.

Saya bukan ustaz, jauh sekali seorang alim. Cuma merasakan kasihan dan simpati dengan generasi sekarang yang semakin jauh dengan Islam. Semakin jauh dengan agama. Apakah punca semua ini. Saya sendiri takut untuk memikirkan apa yang bakal berlaku pada masa depan. Jika anda ingat kata-kata ini,

“jika mahu melihat bagaimana masa depan negara, lihatlah kepada anak muda pada hari ini”


Yer, memang hidup pada masa kini kebanyakannya mengejar dunia semata-mata. Mengejar wang ringgit yang entah berapa banyaknya. Sehingga terlalai dengan tugas sebenar kita sebagai seorang khalifah Allah s.w.t. Kita pandai dan hebat dengan Ilmu dunia, tetapi gagal dan gagal dalam ilmu akhirat.

Kita terlupa kita hanya hidup buat sementara waktu di atas dunia ini. Kita terlupa banyak perkara tentang kampung “abadi” kita di sana. Sebab itu kita tidak hiraukan tentang hari akhirat. Kita leka dengan hiburan yang melalaikan.

Kadang-kadang aneh. Kita cukup peka dengan air Coca-cola yang dikatakan mengandungi alkohol. Kita sibuk dengan tepung dan minyak masak yang dikatakan tidak halal. Tetapi terlupa yang kita kadang-kadang solat 5 waktu punt idak cukup. Bagaimana kita boleh risaukan halal dan haram tentang makanan? Sedangkan perkara wajib pun kita masih tinggal? Saya mengingatkan diri sendiri. Bukan untuk mengata sesiapa.

Kesimpulannya. Kembalilah. Kembali semula kepada agama kita iaitu Islam. Tiada gunanya hebat dan disanjung tinggi oleh manusia, tetapi hina pada pandangan Allah s.w.t. Kita ada tugas penting sebagai manusia. Iaitu menyeru kepada kabaikan dan mencegah kepada kemungkaran.

InsyaAllah, semoga kita sentiasa diberi petunjuk dan hidayah dalam meneruskan hidup ini. Yer, benar, kita juga perlu keluar untuk mencari rezeki untuk keluarga, tetapi jangan terlalai kepada tugas hakiki kita yang sebenar. Carilah harta bertimbun, namun di hati tetap mencintai Islam dan mengamalkan Islam.


Jumpa lagi…:)

Ps: Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan perniagaan atau apa sahaja, sila email di cmm2040@gmail.com. :)

Kalau nak komen, tulis aje kat bawah tu…

Artikel ini khas untuk mengingatkan diri sendiri.

-Posted using BlogPress from my iPad

19 Profil Usahawan Terbilang Part – 2

Dunia perniagaan hari ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Jika kita masih lagi tidak mahu berganjak dengan ego kita dan menganggap diri kita betul, maka usia kita di dalam perniagaan akan menjadi singkat. Sekadar menasihatkan diri sendiri.

Beberapa perkara penting telah saya beri di dalam artikel yang lepas. Semoga kita sama-sama dapat praktikkan. Bagi mereka yang terlepas, boleh lihat dan baca di SINI.

Okey, tidak mahu membebel panjang, nanti bosan pula anda semua nak baca artikel kali ini… ;)

Saya sambung untuk nombor yang seterusnya. Lihat sambungan di bawah:

 

10. Cinta kepada alam perniagaan

11. Mampu menjadi ketua yang berkualiti

12. Mempunyai daya saing yang tinggi

13. Peka kepada perbezaan perkara rahmat dan istidraj

14. Pandai mengurus diri dan perniagaan

15. Bersedia membantu orang lain

16. Tidak mementingkan diri sendiri

17. Patuh perintah Allah s.w.t. (Ini adalah Mandatori!)

18. Sentiasa ceria dan bermotivasi tinggi

19. Faham dan mengamalkan kaedah membuka pintu-pintu rezeki.

 

credit to: All rights reserved by amit1077

Okey, sudah lengkap kesemuanya seperti yang dijanjikan. Menulis dan membaca memang mudah. Tetapi untuk mengamalkannya itu yang lebih utama. Bukanlah bermakna yang menulis juga telah melakukan kesemuanya, tetapi sekadar memberikan semangat dan mengajak kita semua mengamalkan perkara yang baik untuk kita bersama.

Jika ada kesempatan, mungkin saya akan mengambil mana-mana isi yang sesuai untuk diurai dengan lebih teliti. Saya faham, bukan semua orang tahu dan faham hanya dengan fakta semata-mata. Dalam perniagaan yang bakal kita ceburi, kedua-dua elemen iaitu mengkaji fakta dan praktikal berjalan seiring.

Berjumpa lagi pada artikel seterusya. Kalau rasa-rasa tidak mahu ketinggalan, masukkan email anda pada ruangan sebelah kanan anda dan tekan butang subscribe. Semoga perkongsian ini membawa manfaat untuk kita bersama.

Kejar Akhirat, Dunia akan mengikutmu

Klik like pada Facebook blog ini.

Follow saya di twitter.

Terima kasih.

19 Profil Usahawan Terbilang

Menjadi usahawan terbilang adalah impian semua orang yang bergelar usahawan. Walaupun mereka yang makan gaji sekalipun, tetap mahukan sesuatu yang ‘lebih’ dari kebiasaan dalam bentuk ganjaran kewangan. Ini adalah sifat semulajadi manusia. Tidak pernah puas dengan apa yang kita ada. Sebab itu, dunia semakin hari semakin maju disebabkan rasa ketidakpuasan hati kita bila sudah mencapai sesuatu matlamat.

Namun dalam usaha kita menjadi seorang usahawan, tidak semuanya indah belaka. Bila sudah melangkah kaki ke dalam dunia perniagaan, pasti kita akan mengharungi pahit dan manis.

Perniagaan membolehkan anda tersenyum sampai ke telinga, dan boleh juga membuatkan anda mengalirkan air mata. Itulah cabarannya.

Di bawah, ada beberapa perkara penting yang perlu ada untuk menjadi seorang usahawan terbilang. Sekadar mengingatkan diri sendiri dan juga memberi panduan kepada bakal-bakal usahawan di luar sana. Saya bukanlah yang layak untuk memberikan panduan, kerana saya sendiripun masih lagi belajar bertatih dan belum mampu berlari. Apa yang saya ada, saya kongsikan dengan anda semua. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat.

Terdapat banyak buku di luar sana yang berkaitan dengan keusahawanan. Tetapi dari pemerhatian saya, lebih banyak buku-buku penting ini di tulis dalam bahasa Inggeris. Jadi, saya mengambil inisiatif, untuk memberikan sedikit dari apa yang saya ada membuat penulisan dalam bahasa melayu. Semuanya adalah untuk anak bangsa saya sendiri. Kalau bukan kita yang mulakan, siapa lagi?

Ikuti dan sama-sama kita amalkan sikap-sikap yang baik ini dalam diri kita sebagai seorang usahawan Islam:

  1. Sentiasa Jujur
  2. Telus dalam setiap tindakan
  3. Berdisiplin tinggi
  4. Sistematik dalam melakukan kerja
  5. Mesra pelanggan
  6. Suka berjumpa dengan semua orang
  7. Mendapat sokongan yang padu dari pasangan dan keluarga
  8. Sanggup dan sentiasa berusaha lebih
  9. Memiliki bakat semulajadi

Dan senarai ini akan di tambah pada artikel akan datang. Jumpa lagi… ;)

Join saya di Facebook

Follow saya di twitter

Adakah anda sedang mencari produk -produk bumiputera? klik SINI

Cabaran dalam perniagaan 2011. Adakah kita sudah bersedia?

ihsan dari teddyunawakaka.blogspot.com

Sudah lebih dari seminggu nampaknya blog ini tidak ada cerita baru..

Baru-baru ini saya pergi ke Shah Alam untuk melakukan tugas biasa saya iaitu melakukan jualan air. Namun, tujuan sebenarnya adalah untuk memulangkan semula stok lama yang akan tamat tarikh luput tidak lama lagi. Aisey, macam menunjukkan kelemahan pula ya? Tetapi tak mengapalah, inikan blog peribadi saya, apa salahnya berkongsi sesuatu sambil-sambil cari idea menarik untuk dikongsikan.

Biasanya saya akan memunggah barang sehari sebelum bertolak. Memang memenatkan tetapi dalam masa yang sama dapatlah keluarkan peluh. Kesihatan yang baik amat perlu dalam usaha untuk meraih kejayaan tau. ;) Continue reading

Disiplin diri anda bagaimana?

Selamat Hari Raya kepada pengunjung blog faizalehsan.com.

Blog yang menceritakan perihal peribadi, isu semasa, dan yang paling penting berkaitan dengan keusahawanan. Bukan mudah untuk melakar kejayaan. Jika kita tidak mempunyai disiplin diri yang kuat. Pernyataan ini ditujukan khas buat usahawan muda seperti saya dan kawan-kawan yang berniaga.

Nampaknya mood raya masih belum hilang. Mana tidaknya, baru dua minggu bukan? :) Apa yang pasti, kita tetap kena teruskan perjuangan dalam arena masing-masing dengan tekun dan tabah. Bagi mereka yang bergelar usahawan dan peniaga, cuti terletak pada tangan masing-masing. Samada nak ambil lama atau sekejap. Kalau lama tu saya rasa mestilah seorang yang sudah kaya raya kan? ;) Continue reading

Monolog Ramadhan

Assalamualikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar anda semua? Harapnya sihatlah ya. Dalam menempuh hari-hari terakhir bulan Ramadhan yang akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi, tentu kalian semua sedang bersiap untuk menyambut Raya pula.

Agak lama tidak ada artikel terbaru dalam blog ini. Hampir menjejak ke 3 bulan lamanya. Kalaulah diibaratkan rumah sewa, sudah tentu bersawang ;)

Sehinggalah ada pengunjung yang menegur saya di FB, barulah ada sedikit kekuatan untuk menulis sesuatu di sini.

Sepanjang dua atau tiga bulan ini, banyak perkara yang berlaku ke atas diri saya. Samada berbentuk peribadi atau dari sudut perniagaan. Sebagai insan kerdil dalam dunia ini, kita pasti akan diuji dengan pelbagai perkara untuk melihat sejauh mana tahap keimanan kita kepada yang maha pencipta.

Perkara-perkara ini sedikit sebanyak mempengaruhi mengapa blog ini tidak diupdate. Namun, bila memikirkan setiap tindakan dan keputusan yang kita telah buat merupakan satu amanah, tidak dapat tidak kita tidak boleh lari dari menunaikan tanggungjawab. Setiap yang kita wujudkan, terpikul amanah padanya. Saya merasakan setiap penulisan di blog adalah amanah anda semua kepada saya. Continue reading

4 Langkah memulihkan keyakinan diri

Nature Macro

Alhamdulillah hari Jumaat tiba lagi hari ini. Mungkin agak terlambat untuk mengupdate blog hari ini. Tetapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya langkah pertama perlu diambil sebelum beroleh kejayaan. Anda pernah dengar peribahasa ini?

Perjalanan yang beribu batu bermula dari langkah yang pertama.

Entah mengapa, dalam semingu dua ini saya terasa sangat tidak bermotivasi. Tertekan dengan pelbagai perkara samada berkaitan dengan perniagaan dan juga peribadi. Rasanya seperti dunia hendak terbalik dibuatnya. Oh!

Akhirnya alhamdulillah, setelah membuat beberapa rujukan dan juga muhasabah diri, saya kembali mendapat rentak untuk menjalani kehidupan ini dengan penuh semangat. Semangat baru. Seperti juga blog ini, segalanya bermula di sini. Bukan mudah untuk menghadapi situasi sukar dalam hidup. Antaranya yang mungkin anda semua hadapi adalah:

  • Putus cinta
  • Masalah kewangan
  • Masalah rumah tangga
  • Masalah tidak bahagia
  • …. banyak lagi kalau hendak disenaraikan. Continue reading

Perniagaan yang pantas akan sentiasa ke hadapan. Caranya?…

Sudah hampir 2 bulan saya tidak update perkembangan terbaru di dalam blog ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya di manakah saya menghilangkan diri. Lari ke England kah? ;) . Namun, jika anda semua perasan dan lihat pada laman twitter serta facebook di sebelah blog ini, saya sentiasa update perkembangan terbaru di sana.

Apa khabar perniagaan anda hari ini? semoga semuanya berjalan lancar. Adat perniagaan, ada waktu puncak dan ada waktu turunnya. Bagi mereka yang bergelar usahawan dan peniaga, ini adalah perkara biasa. Pernah saya bertanya kepada beberapa rakan niaga, kenapa agaknya perniagaan sedikit menjunam pada awal-awal tahun? Anda hendak tahu jawapannya?

Ini kerana pada awal tahun kebanyakan dari pelanggan sibuk menguruskan pelbagai perkara. Dari baju sekolah anak-anak sehinggalah kepada perbelanjaan dapur. Oleh itu, kalau kita rasa perniagaan kurang ok dalam waktu-waktu begitu, janganlah sedih sangat ok? Jangan pula terjun bangunan. Sabar.

Perniagaan pada hari ini menuntut kita mempelajari semua perkara dengan pantas. Buat pengetahuan semua, pada awal bulan April yang lalu saya telah meghadiri Seminar Revolusi Perniagaan ineternet yang dikendalikan oleh sifu Dr Irfan Khairi. Seminar tersebut berlangsung selama 2 hari. Mungkin ada yang dah tahu tetapi tidak berkesempatan untuk hadir. Alhamdulillah, saya dapat hadir dan menimba ilmu selama 2 hari di sana. Banyak tip-tip dan panduan yang telah dikongsikan oleh sifu Irfan Khairi. Jika ada kesempatan, saya akan kongsikan bersama anda. Ilmu yang ada, apa salahnya kongsi ramai-ramai bukan?

Berbalik kepada maksud pantas itu tadi, jika kita lambat, kita akan ditinggalkan jauh oleh pesaing-pesaing kita. Contoh yang paling  mudah, siapa yang tiada akaun facebook di sini? saya pasti ramai yang ada. Samada untuk perniagaan atau personal. Bagaimana dengan twitter, youtube dan sebagainya? Laman web sosial ini sangat berkuasa untuk mendekatkan diri kita dengan pelanggan. Jika benar dan betul cara gunanya.

Akaun FB yang saya nyatakan tadi, berguna untuk mereka yang tahu tentang komputer. Bagi mereka yang tidak tahu, kenalah ambil tahu. Perniagaan konvensional juga memerlukan alat-alat ini untuk terus berkembang. Jadi, tuan-tuan semua, alat-alat ini wajib anda ada untuk meneruskan perjuangan dalam perniagaan anda.

Berdasarkan pengalaman saya yang baru setahun jagung ini, ramai rakan-rakan niaga yang masih lagi mengambil mudah tentang “kuasa” laman sosial ini. Pelbagai alasan yang diberikan samada tidak tahu, atau merasakan tidak perlu pun untuk memiliki sebuah website untuk syarikat dan sebagainya. Saya sudah nampak kesannya. Perniagaan mereka kurang berjaya  menembusi pasaran walaupun memiliki produk yang bagus.

Sebagai kesimpulannya, perniagaan pada hari ini memerlukan kita mengikut “trend” semasa. Yer, betul, setiap orang memiliki pendapat masing-masing dalam dunia perniagaan. Saya tidak mengatakan pendapat ini 100% betul. Anda mungkin ada pendapat sendiri. Jika ada, sila ke ruangan komen. Kita sama-sama tambah ilmu. :) .

Berjumpa lagi pada artikel yang akan datang. Saya akan cuba update sekerap yang mungkin supaya anda tidak lari dari blog ini ;) .  Sekian…

p/s : Sertai saya di facebook dan twitter :)

 

Adakah anda seorang “Superman” ?

Siapa yang tidak kenal dengan “superman”? Alah… hero cerita barat tu.. Kata minah.

Pasti anda pernah melihat aksinya di television bukan? Bercawat merah di luar dan boleh pandang tembus bangunan? Bukanlah saya mahu anda fokuskan kepada perkara tersebut.. tidak ada kena mengena dengan tajuk pun.

Ramai beranggapan mereka boleh buat semua kerja seorang diri. Ha, itu adalah apa yang dimaksudkan dengan superman tadi. Semua kerja aku yang buat.

Saya yakin dan percaya, kita semua ada sikap seperti ini dalam diri samada sedar ataupun tidak. Jika kerap kali kita menggunakan “power” kita, maka cepatlah kita akan berasa letih.

Dalan dunia perniagaan, menganggap kita boleh melakukan semua perkara adalah silap. Sebab apa tuan-tuan, tuan punya dunia menjadikan kita dari pelbagai kaum dan keturunan supaya kita saling bantu-membantu untuk sama-sama memakmurkan dunia ini.

Seorang bos tidak akan mampu melakukan semua kerja yang pada asalnya beliau boleh lakukan sendiri seperti menyapu sampah, bankin duit ke bank, akaun, dan sebagainya. Seorang yang bijak akan membahagi-bahagikan tugas mengikut kemampuan seseorang individu. Ini bukan sahaja menjimatkan malah tidak membazirkan sumber tenaga yang ada dalam sesebuah organisasi.

Anda semua minat bolasepak? yup, saya yakin 90% pembaca blog ini peminat bolasepak. Contoh yang anda boleh lihat adalah setiap pemain mempunyai peranan masing-masing. Kalau semua orang nak jadi penyerang, siapa pula yang hendak menjadi penjaga gol. Begitu juga sebaliknya.

Ok, sedikit tip ringkas disini,

Bahagi-bahagikan kerja mengikut kemampuan dan kepakaran seseorang. Jangan sombong dan angkuh seolah-olah kita hebat

Anda ada sesuatu di minda untuk dikongsi? Jom beri komen di bahagian komen ya? :)

Bersikap Praktikal

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Selamat tahun baru cina saya ucapkan kepada semua kaum berbangsa Tiong Hua di negara ini.

Terlalu banyak perkara yang dilalui dalam masa beberapa bulan ini. Samada iannya kebaikan atau ujian dari Allah s.w.t. Sebagai makhluknya, kita semua kena menerimanya dengan berlapang dada dan tidak perlu untuk menyalahkan tuan punya dunia. Allah berhak beri, dan berhak juga untuk mengambil semula nikmat pemberiannya.

Setelah membuat permerhatian, saya hanya akan menuliskan artikel berkaitan dengan perniagaan dan keusahawanan di blog ini termasuk juga hal yang berbentuk peribadi. Bagi mereka yang ingin mendapatkan artikel mengenai produk digital, maka saya sarankan anda melayari blog saya yang lain iaitu myeasyreview.com. Walaubagaimanapun ianya masih dalam pembikinan. InsyaAllah dalam masa terdekat akan di buka sepenuhnya (eh, macam pasaraya pula ;) ).

Ok, berbalik kepada tajuk asal, mungkin skil dan penulisan saya agak kurang. Terlalu lama tidak menulis akan menyebabkan otak beku seperti ais. Nasib baiklah seperti ais, lama-lama cairlah ia.. :)

Sedikit tip dari saya pada artikel ringkas ini ialah,

Bersikap Praktikal.

Saya bukanlah makhluk sempurna yang Allah s.w.t. kurniakan di atas bumi ini. Oleh kerana itu, saya sendiri tidak lepas dari melakukan kesilapan dan kesilapan. Tip-tip yang diberikan adalah hasil dari pembacaan dan pengalaman saya sendiri. Jika kita tidak mampu atau masih belum berjaya, tidak salah untuk berkongsi sedikit ilmu yang kita ada untuk kejayaan bersama bukan?

Bila sudah ada tip dan panduan, maka lebih mudah untuk kita praktikkan. Jadi, tip ringkas di atas sebagai permulaan jalan untuk kita sama-sama menuju kejayaan insyaAllah.

Bersikap Praktikkal.

Maksudnya di sini adalah lakukan segala usaha untuk mencapai objektif dan sasaran yang telah ditetapkan dan bukan hanya membangunkan teori semata-mata atau bercakap kosong. Bertanggungjawab dan komited terhadap tugas kita.

Cakap mudahnya “cakap mesti serupa bikin” – dipetik dari pelat seorang apek tua.

Berapa ramai diantara kita yang mempunyai sikap ini? 10?20?100? saya yakin ada. Setiap orang ada sikap ini, cumanya tidak digilap dan dicungkil sepenuhnya. Biasanya dalam keadaan tertekan baru kita akan “boom”.

Diharap perkongsian kali ini memberi manfaat kepada anda semua. Maka tidak rugi berkunjung ke blog ini. Saya menulis lebih kepada ingin mengingatkan diri sendiri yang sering lupa dan alpa dengan nimat keduniaan.

Adakalanya kita hanyut dengan kesenangan yang dikurniakan Allah s.w.t. Bila sudah ditarik nikmat, barulah tersedar dari mimpi indah.

Pesan saya, jadilah diri sendiri dalam usaha kita mengejar kejayaan. Jadikan orang yang sudah berjaya sebagai contoh, namun buatlah dan bikinlah kejayaan dengan tangan anda sendiri. Jumpa lagi.

p.s: Saya rasa anda pasti sedang memikirkan sesuatu, apa kata tuliskan di bahagian komen ya :)

faizalehsan.com sudah berusia 1 tahun

Sedar atau tidak, sebenarnya saya hampir terlupa. Sesungguhnya blog faizalehsan.com telah menyambut ulangtahunnya yang pertama pada bulan August (11 hb)yang lepas. Macam mana boleh tidak ingat.. oh!.

Alhamdulillah, dalam tempoh sudah hampir satu tahun menulis, banyak juga yang dapat saya kongsikan dengan anda semua. Samada tip-tip berkaitan dengan perniagaan, motivasi dan sebagainya. Saya dengan rasa rendah hati berterima kasih kepada anda yang sudi berkunjung ke blog ini. Bagi mereka yang meninggalkan komen, terima kasih banyak-banyak. Bagi mereka yang hanya singgah sekejap dan pergi ke website lain, pun saya ucapkan terima kasih.

Setelah hampir satu tahun, barulah saya sedar bahawa, untuk berblog bukan sesuatu yang mudah. Pada mulanya sahaja bersemangat, namun selepas beberapa posting, terus hilang lenyap.. ;)

Saya akui, hendak menulis sesuatu untuk dikongsikan dangan anda tidak mudah. Kalau setakat menulis yang biasa-biasa sahaja, mungkin boleh mencecah sehingga beribu patah perkataan. Saya berpandangan, biarlah sesuatu yang kita tulis itu bermanfaat untuk diri, dan juga orang lain kerana mereka yang melayari internet, majoritinya mencari maklumat.

Sebab itu menjual maklumat samada ebook dan produk digital yang lain mendapat sambutan hangat.

Walaupun pada mulanya ingin menjadikan blogging sebagai sumber pendapatan utama, namun setelah melalui tempoh ini, banyak perkara yang perlu dikaji semula. Salah satu sebab ialah, ilmu yang ada masih kurang dan tidak konsisten dalam melakukan kerja. Mereka yang berjaya dan boleh anda jadikan contoh adalah seperti saudara smartzul, Rohaizad, Dr. Irfan, Ustaza Hasrizal dan sebagainya. Mereka tetap istiqamah melakukan posting setiap hari!

Kalau kita ingin berjaya, kita hendaklah meniru cara orang yang sudah berjaya.

Mungkin ini adalah kelemahan diri sendiri. Tetapi, insyaAllah, saya akan cuba perbaiki. Jika tidak dapat kerap menulis, saya tetap akan luangkan sedikit masa untuk menulis. Entah mengapa, selesai sahaja menulis, jiwa saya menjadi lebih tenang. Mungkin kerana dengan menulis saya dapat meluahkan apa yang terbuku di hati.

Mungkin ramai diantara kita yang tercari-cari idea untuk menulis artikel. Bagi saya, kalau anda hendak menulis sesuatu, cuba cari masa yang sesuai dengan anda. Waktu anda tenang dan tidak memikirkan perkara-perkara yang berat. InsyaAllah, idea untuk menulis itu akan datang dengan sendirinya seperti air terjun yang mengalir.

Okey, lari sedikit dari tajuk asal.

Bulan Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya. Bagaimana dengan amal ibadah kita sepanjang bulan puasa ini? Adakah semakin baik atau semakin menjunam?. Di akhir-akhir Ramadhan ini, digalakkan untuk meningkatkan amal ibadat sebanyak mungkin untuk mengejar malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam “lailatul qadar”.

InsyaAllah, malam yang kita cari ini akan muncul. Muncul jika kita mencarinya dengan sentiasa melakukan amal ibadah setiap malam tidak kira malam genap atau malam ganjil.

Kesimpulan

Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada anda yang sudi berkunjung ke blog ini. Jika ada berlaku kesilapan, saya dahului dengan ucapan maaf dan saya akan perbaiki dari masa ke semasa. Teruskan melayari blog ini dan berikan sokongan dengan memberikan apa sahaja komen di ruangan komen di bawah ya? :)

Rebutlah malam-malam terakhir ramadhan ini… Salam Ramadhan dari saya.

faizalehsan

Pengarah Urusan

Cahaya Mentari Marketing

Selamat Hari Kemerdekaan yang ke – 53 Malaysia

Dari pagi tadi saya mencari-cari idea, apakah artikel menarik yang boleh di tulis di blog ini. Namun masih belum jumpa. Kebetulan, hari ini saya mempunyai temujanji dengan pelanggan yang berminat untuk menjadi pengedar kami untk bahagian Kuala Lumpur.

Alhamdulillah, selesai satu perkara. Sepanjang artikel ini ditulis, saya baru sahaja balik dari berjumpa dengan pelanggan seperti yang telah diberitahu tadi. Segalanya nampaknya berjalan lancar. Beliau juga mempunyai misi dan visi yang sama, untuk memartabatkan produk halal keluaran bumiputera Islam khususnya.

Oh ya, saya bukan terlupa atau buat-buat lupa, kerana hari ini merupakan tarikh bersejarah bagi negara kita Malaysia. 31 hb Ogos. Tarikh keramat menunjukkan bahawa Malaysia telah merdeka. Tahun ini merupakan tahun yang ke 53. Wah! Nampaknya sudah agak lama kita merdeka samada kita sedar atau tidak.

Bagi yang lahir sebelum merdeka, sudah tentu merasai betapa bernilainya erti kemerdekaan dalam diri. Betapa kita seharusnya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini. Namun begitu, adakah kita benar-benar merdeka?

Walaupun saya tidak lahir pada tahun sebelum merdeka, tetapi sekurang-kurangnya tahu mengenai sejarah bangsa dan negara. Paling asas yang anda semua kena tahu, “lagu negaraku”. Ada juga yang tidak hafal lagu ini. Percaya atau tidak?percayalah..

Untuk memerdekakan negara dari penjajah memang sukar, tetapi untuk mengisi kemerdekaan itu lebih sukar. Bak kata orang yang menang pertandingan:

Untuk menjadi juara adalah mudah, tetapi untuk mengekalkan kejuaraan itu adalah bahagian yang paling sukar sekali.

Memang kita tidak dijajah dari sudut fizikalnya, tetapi kita dijajah dari sudut pemikiran, budaya dan lain-lain. Mungkin ramai yang mengatakan tidak benar. Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran waras, kita sudah dapat menilai dengan akal fikiran kita. Adakah pemikiran anda sudah bebas?

Pembangunan material yang tidak selari dengan pembangunan rohani, sudah pasti akan merosakkan bangsa kita sendiri. Walaupun ramai orang politik menjanjikan berbagai kata-kata manis mengenai perpaduan, agama dan sebagainya, namun hasilnya masih tidak kelihatan. Malah lebih teruk lagi.

Sebagai rakyat Malaysia, anda dan saya sudah tentu bangga dan bersyukur dengan kemerdekaan negara ini. Nikmat merdeka kita ini memudahkan segala urusan dapat dilakukan dengan aman dan selamat. Namun, kemerdekaan dari sudut itu masih tidak cukup. Bagaimana dengan pengisian-pengisian tentang kerohanian dan pembentukan jiwa? Kerana majunya sesebuah negara adalah kerana orangnya, manusia.

Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke 53. Semoga kemerdekaan ini dapat kita kekalkan sampai bila-bila. Semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk menjadikan negara ini kekal aman dan makmur. Sekadar sedikit perkongsian dari saya sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap pembangunan  modal insan dan negara.

Saya dapat membaca, mungkin anda mempunyai buah fikiran dan ingin berkongsi disini. Apakata anda ke ruangan komen sekarang. :)

Jumpa lagi untuk artikel akan datang..

Selamat berpuasa

Alhamdulillah. Bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana masih diberi peluang oleh Allah s.w.t. untuk beramal ibadat serta melakukan pelbagai urusan samada dunia mahupun akhirat. Hari ini merupakan hari ke empat kita berpuasa (sepanjang artikel ini di tulis).

Bulan ini merupakan bulan yang lebih baik dari bulan-bulan yang lain. Ramadhan terkenal dengan bulan Ibadah. Kalau kita selalunya mendengar tentang pelbagai pesta mengenai hiburan, namun kali ini, bulan ini merupakan “pesta ibadah”. Marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengaut sebanyak mungkin pahala. Mungkin tidak ada lagi bulan Ramadhan yang akan datang untuk kita. Siapa tahu?

Mengikut kajian, perniagaan online mungkin agak perlahan bila tibanya bulan ramadhan. Tetapi perniagaan lain berjalan seperti biasa atau mungkin lebih baik. Lihat sahaja bazar-bazar ramadhan yang penuh dengan manusia yang sibuk membeli juadah berbuka puasa. Peluang perniagaan seperti ini hanya datang pada bulan Ramadhan. Mungkin anda salah seorang dari peniaga bazar ramadhan ini?

Saya berharap masih tidak terlambat untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat islam serta pengunjung blog ini samada sengaja atau tidak sengaja singgah disini. Terima kasih kerana sudi menjengah ke blog ini. Jika anda mempunyai masa, silalah turunkan komen anda di bahagian komen ya? :)

Sehingga berjumpa lagi pada artikel akan datang..

p.s: Minta maaf kerana lambat update blog ini.