Selamat Hari Kemerdekaan yang ke – 53 Malaysia

Dari pagi tadi saya mencari-cari idea, apakah artikel menarik yang boleh di tulis di blog ini. Namun masih belum jumpa. Kebetulan, hari ini saya mempunyai temujanji dengan pelanggan yang berminat untuk menjadi pengedar kami untk bahagian Kuala Lumpur.

Alhamdulillah, selesai satu perkara. Sepanjang artikel ini ditulis, saya baru sahaja balik dari berjumpa dengan pelanggan seperti yang telah diberitahu tadi. Segalanya nampaknya berjalan lancar. Beliau juga mempunyai misi dan visi yang sama, untuk memartabatkan produk halal keluaran bumiputera Islam khususnya.

Oh ya, saya bukan terlupa atau buat-buat lupa, kerana hari ini merupakan tarikh bersejarah bagi negara kita Malaysia. 31 hb Ogos. Tarikh keramat menunjukkan bahawa Malaysia telah merdeka. Tahun ini merupakan tahun yang ke 53. Wah! Nampaknya sudah agak lama kita merdeka samada kita sedar atau tidak.

Bagi yang lahir sebelum merdeka, sudah tentu merasai betapa bernilainya erti kemerdekaan dalam diri. Betapa kita seharusnya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini. Namun begitu, adakah kita benar-benar merdeka?

Walaupun saya tidak lahir pada tahun sebelum merdeka, tetapi sekurang-kurangnya tahu mengenai sejarah bangsa dan negara. Paling asas yang anda semua kena tahu, “lagu negaraku”. Ada juga yang tidak hafal lagu ini. Percaya atau tidak?percayalah..

Untuk memerdekakan negara dari penjajah memang sukar, tetapi untuk mengisi kemerdekaan itu lebih sukar. Bak kata orang yang menang pertandingan:

Untuk menjadi juara adalah mudah, tetapi untuk mengekalkan kejuaraan itu adalah bahagian yang paling sukar sekali.

Memang kita tidak dijajah dari sudut fizikalnya, tetapi kita dijajah dari sudut pemikiran, budaya dan lain-lain. Mungkin ramai yang mengatakan tidak benar. Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran waras, kita sudah dapat menilai dengan akal fikiran kita. Adakah pemikiran anda sudah bebas?

Pembangunan material yang tidak selari dengan pembangunan rohani, sudah pasti akan merosakkan bangsa kita sendiri. Walaupun ramai orang politik menjanjikan berbagai kata-kata manis mengenai perpaduan, agama dan sebagainya, namun hasilnya masih tidak kelihatan. Malah lebih teruk lagi.

Sebagai rakyat Malaysia, anda dan saya sudah tentu bangga dan bersyukur dengan kemerdekaan negara ini. Nikmat merdeka kita ini memudahkan segala urusan dapat dilakukan dengan aman dan selamat. Namun, kemerdekaan dari sudut itu masih tidak cukup. Bagaimana dengan pengisian-pengisian tentang kerohanian dan pembentukan jiwa? Kerana majunya sesebuah negara adalah kerana orangnya, manusia.

Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke 53. Semoga kemerdekaan ini dapat kita kekalkan sampai bila-bila. Semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk menjadikan negara ini kekal aman dan makmur. Sekadar sedikit perkongsian dari saya sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap pembangunan  modal insan dan negara.

Saya dapat membaca, mungkin anda mempunyai buah fikiran dan ingin berkongsi disini. Apakata anda ke ruangan komen sekarang. :)

Jumpa lagi untuk artikel akan datang..

Puasa, Perniagaan & Anda

Alhamdulillah, sedar tidak sedar  kita sudah menjalani ibadah puasa sudah hampir 15 hari. Bagaimana dengan puasa anda semua? Adakah berjalan lancar atau ada yang sudahpun ponteng puasa?

Sesungguhnya ibadah puasa ini benar-benar menuntut kesabaran dan kekuatan yang bukan sedikit. Setakat menahan nafsu makan apalah sangat, betul atau tidak? Walaupun begitu, masih ada lagi berlaku pembaziran terutamanya bila sampai waktu berbuka puasa. Maklumlah, puasa sebulan sahaja setahun. Alamak, macam hari raya lah pulak.

Menahan diri dari makan, mungkin ramai yang boleh. Budak darjah dua pun boleh. Kata sahabat saya. Namun nafsu syahwat juga perlu dijaga rapi (mengingatkan diri yang alpa juga ni). Melihat perkara yang tidak sepatutnya (faham-faham sendirilah ye) boleh membawa kepada kurangnya pahala berpuasa. Kita tidak mahu puasa menjadi sia-sia. Sekadar menahan lapar dan dahaga. Pahalanya?

Kebelakangan ini berlaku bermacam-macam perkara pelik dan aneh. Gejala buang bayi, bapa sembelih anak dan sebagainya . Tidak pernah terjadi dahulu perkara-perkara serupa ini pada zaman saya dan tuan-tuan kecil dahulu. Mungkin ada kebenarannya. Hari perhitungan  kita sudah semakin hampir. Apakah persediaan kita untuk menghadapi hari perhitungan itu? Sudah cukupkah bekalan yang ada. Dengan amal yang sedikit… oh! Semoga Allah mengampuni kita.

Tahun ini merupakan tahun yang pertama saya menjalankan perniagaan dalam bulan Ramadhan. Saya berasa sangat teruja, namun pada masa yang sama agak  risau. Perniagaan yang dijalankan pada bulan ini agak kurang memuaskan. Namun, sebagai seorang usahawan, dugaan-dugaan seperti ini adalah biasa. Ada untung dan ada rugi. Itulah adatnya dunia perniagaan.

Perniagaan makanan, mungkin agak kurang memuaskan bagi pembekal barang-barang runcit, tetapi bagi peniaga-peniaga bazar ramadhan, bulan ini merupakan bulan limpahan rezeki. Bulan yang penuh keberkatan dan rahmat. Begitulah adilnya Allah s.w.t. Rezeki yang diturunkan ke bumi ini, dibahagi secara sama rata. Setiap insan akan tetap merasa nikmat Allah s.w.t.

Bersyukurlah kepada tuan punya dunia. Kita masih lagi diberikan peluang untuk menjalani ibadah puasa bagi tahun ini. Tiada siapa yang tahu, adakah kita akan mendapat peluang sekali lagi menjalankan ibadah puasa ini pada tahun hadapan. Berusahalah menjadikan ibadah puasa kali ini jauh lebih baik dari tahun-tahun yang sudah. Kurangkan melakukan perkara-perkara lagho dan seumpamanya. Sedarlah diri wahai tuan, sahabat, rakan, saudara.

Kesimpulannya, marilah kita mengambil peluang pada bulan yang mulia ini untuk terus memperbaiki diri. Ustaz-ustaz selalu cakap, bulan ini merupakan bulan madrasah mensucikan hati.

Sekadar sedikit perkongsian hati dan jiwa. Saya manusia, anda juga sama. Kita bersaudara dan agamanya sama. Saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Mungkin kita terlalai. Maka tugas setiap insan adalah mengingatkan orang lain terutamanya diri sendiri. Jika anda mempunyai “sesuatu” untuk dikongsikan, apakata tuliskan sesuatu di ruangan komen. :) Komen dan pendapat anda sangat-sangat saya hargai dan saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Oh ya, sebelum saya mengakhiri artikel kali ini, di bawah ada sepotong hadis. Semoga ada manfaatnya.

Puasa Orang Yang Musafir

Dari Hamzah bin Umar al-Islami, r.a. bahawa ia pernah bertanya Rasulullah, katanya: “Ya Rasulullah, rasanya saya tahan berpuasa dalam masa musafir, oleh itu adakah saya bersalah (kalau saya berpuasa)?”. Rasulullah SAW menjawab: “Itu adalah satu rukhsah kemudahan) dari Allah Ta’ala, sesiapa yang menggunakan kemudahan itu (ia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik, dan sesiapa yang memilih untuk berpuasa maka orang itu tidak dikira bersalah.”

Berjumpa lagi di entri yang akan datang…

Salam Ramadhan.

Puasa Orang Yang Musafir

Dari Hamzah bin Umar al-Islami, r.a. bahawa ia pernah bertanya Rasulullah, katanya: “Ya Rasulullah, rasanya saya tahan berpuasa dalam masa musafir, oleh itu adakah saya bersalah (kalau saya berpuasa)?”. Rasulullah SAW menjawab: “Itu adalah satu rukhsah kemudahan) dari Allah Ta’ala, sesiapa yang menggunakan kemudahan itu (ia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik, dan sesiapa yang memilih untuk berpuasa maka orang itu tidak dikira bersalah.”

Selamat berpuasa

Alhamdulillah. Bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana masih diberi peluang oleh Allah s.w.t. untuk beramal ibadat serta melakukan pelbagai urusan samada dunia mahupun akhirat. Hari ini merupakan hari ke empat kita berpuasa (sepanjang artikel ini di tulis).

Bulan ini merupakan bulan yang lebih baik dari bulan-bulan yang lain. Ramadhan terkenal dengan bulan Ibadah. Kalau kita selalunya mendengar tentang pelbagai pesta mengenai hiburan, namun kali ini, bulan ini merupakan “pesta ibadah”. Marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengaut sebanyak mungkin pahala. Mungkin tidak ada lagi bulan Ramadhan yang akan datang untuk kita. Siapa tahu?

Mengikut kajian, perniagaan online mungkin agak perlahan bila tibanya bulan ramadhan. Tetapi perniagaan lain berjalan seperti biasa atau mungkin lebih baik. Lihat sahaja bazar-bazar ramadhan yang penuh dengan manusia yang sibuk membeli juadah berbuka puasa. Peluang perniagaan seperti ini hanya datang pada bulan Ramadhan. Mungkin anda salah seorang dari peniaga bazar ramadhan ini?

Saya berharap masih tidak terlambat untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat islam serta pengunjung blog ini samada sengaja atau tidak sengaja singgah disini. Terima kasih kerana sudi menjengah ke blog ini. Jika anda mempunyai masa, silalah turunkan komen anda di bahagian komen ya? :)

Sehingga berjumpa lagi pada artikel akan datang..

p.s: Minta maaf kerana lambat update blog ini.